Translate This Page

Siapa Online?
We have 88 guests online
Statistik Pelawat
mod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_counter
mod_vvisit_counterToday202
mod_vvisit_counterAll days882471

We have: 88 guests online
Your IP: 54.224.76.106
 , 
Today: Apr 23, 2017

postheadericon Kepada Pak Imam Berkaitan

Kira - kira jam 10.45 pagi hari ini, sekali lagi saya dihubungi salah seorang kakitangan JHEAINS dari salah sebuah daerah di Sabah. Menurutnya, imam berkaitan semakin menjadi jadi. Saya biarkan beliau menghabiskan ayat berkaitan sikap seorang Pak Imam yang saya juga mengenalinya. Tambah beliau, sudah beberapa kali pak imam ini menikahkan pasangan sedangkan dia bukan jurunikah. Lebih mengecewakan, dia melepaskan beberapa pesalah syarie begitu saja setelah mendapat habuan. Bagai kerbau dilepas sesudah kenyang makan rumput di tanah orang. Peliknya, imam berperangai seperti ini dilantik dan diberi kuasa membuat tangkapan di peringkat daerah. Menunjukkan, ada pegawai 'buta' lain yang telah 'menaikkan' nama imam ini. Kalaupun tidak 'buta', barangkali sengaja merancang untuk memudahkan urusan peribadi 'pegawai' berkaitan terlaksana. Tapi kemungkinan juga tiada orang yang berkelayakan untuk jawatan ini menjadikan pemilihan penjawatnya 'main rambang' sahaja.

Sebenarnya, isu ini bukan baru. Bukan juga sekali dua aduan ini sampai ke telinga saya untuk diaju ke peringkat atasan. Saya juga pelik, kenapa saya yang menjadi sasaran aduan perkara ini walhal saya tidak punya 'maqam' untuk bawa isu ini ke peringkat atasan mereka. Cuma, barangkali saya ini tidak 'makan saman dan suap' ditambah 'muka tebal'. Syor saya kepada Pak Imam berkaitan, segerakanlah insaf dan taubat. Jalankan tanggungjawab dengan amanah, bukan menjual maruah dengan mengambil sogokan pesalah yang memang bersalah. Mengakhiri perbualan kami saya hanya mampu mengayat;" ok tuan. Saya cuba bantu untuk bawa perkara ini ke atasan. Kalau perlu, biar imam seperti ini digugurkan dari jawatan kerana dia tidak layak bawa obor agama bahkan jadi perosak agama"

 

 

postheadericon Rumah Transit Mualaf Sabah

 

 

Kepada pembaca Suara Mualaf, saya dengan rasa rendah hati memohon agar pos-pos khususnya yang berkait dengan pembangunan RTMS di page PPIS dikongsikan kepada rakan-rakan muslimin. Pembangunan RTMS sangat mendesak selain perlu disegerakan untuk keperluan saudara2 baru khusus dari pedalaman. Sila klik link di bawah untuk maklumat lanjut. https://www.facebook.com/pendakwahsabah

 

postheadericon SAYA BUKAN MELAYU ?

http://dengaralquran.com/

Sebagai seorang Dusun Kimaragang, saya agak terkilan dengan kenyataan Mufti Sabah;Bungsu@Aziz Jaafar berbunyi " untuk melakukan penyatuan Islam, suku kaum seperti Kadazan, Murut dan Dusun perlu 'diMelayukan' sebagai satu rumpun Melayu", ( rujuk berita penuh di http://www.sinarharian.com.my/melayukan-rumpun-melayu-sabah-kata-mufti-1.20697. Kenyataan ini mendapat perhatian dan reaksi pelbagai di laman sosial khususnya para pembaca bersuku Dusun, Kadazan dan Murut.

Pada saya, kenyataan ini kurang cermat dan agak mendukacitakan kerana dilontarkan oleh seorang mufti. MeMelayukan suku kaum yang jelas bukan Melayu dengan alasan menyatupadukan Islam adalah kurang tepat justeru kejadian fitrah manusia yang hidup dalam kepelbagaian suku itu sendiri diiktiraf Allah agar manusia sering kenal mengenal antara satu sama lain. Firman Allah bermaksud;

“ Wahai umat manusia, sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu)”  [Al-Hujuraat 49:13]

Bukankah jelas, dengan cara memahami, mendekati dan mengenali pelbagai suku yang Allah cipta itu akan lebih menjadikan sesama manusia rapat, mesra dan padu? Saya bukanlah ahli tafsir Qur'an yang mampu menghurai ayat di atas, oleh itu, saya mohon mereka yang ahli dapat mengupas maksud dan isi ayat ini agar kita sama-sama mendapat manfaat dan pencerahan berkaitan suku bangsa menurut Islam. Suatu ketika dulu, di kelompok masyarakat saya, Islam ditolak sebahagian masyarakat pribumi Sabah kerana beberapa salahtanggap mereka terhadap Islam selain tidak memahami sebab dan hikmah larangan beberapa perkara. Antaranya, termasuklah amalan berkhatan atau bersunat, tidak makan seharian (puasa), dibungkus kain putih setelah mati, tidak boleh memakan daging-daging  tidak halal misalnya babi, yang telah menjadi makanan tradisi mereka sejak dulu. Selain itu, orang-orang tua khususnya orang Dusun sangat bimbang jika ada dalam kalangan ahli keluarga mereka memeluk Islam kerana menganggap mereka akan 'masuk Bajau'.

Inilah antara ‘ketakutan’ dan sebab Islam ditolak orang-orang yang belum Islam  termasuk saya ketika itu. Inilah yang  berlaku disebabkan  kejahilan dua-dua pihak. Orang Bajau, jahil ilmu Islam menyebabkan mereka tidak dapat menjelmakan Islam sebagaimana  ajaran Rasulullah SAW. Di pihak orang Dusun pula, juga jahil justeru apabila melihat perilaku orang Bajau, langsung mengecop itulah Islam. Di mata mereka,  Bajau adalah Islam dan Islam adalah Bajau. Rentetan banyak perkara, bercambahlah akar-akar penolakan Islam dengan dalam kalangan bukan Islam kerana gambaran-gambaran negatif mengikut  pengalaman mereka bergaul dengan masyarakat Islam ketika itu. Tidak cukup itu,  mereka perturunkan pula gambaran negatif, salahtanggap  dan penolakan mereka kepada anak-anak mereka . Sementara di pihak Islam pula, langsung tiada usaha menarik dan memperbetulkan tanggapan-tanggapan salah yang membaja pemikiran orang-orang bukan Islam.

Saya berkongsi perkara ini kerana saya sendiri mengalami fasa ‘takut’ sebelum timbul keinginan mendekati dan akhirnya memeluk Islam. Sebab itu, saya tegas mengatakan bahawa meMelayukan orang Dusun, Kadazan dan Murut, benar-benar tidak relevan bahkan hanya membangkit semula peristiwa hitam dalam sejarah Islam Sabah setelah melalui proses pemutihan. Untuk mencapai penyatuan dan perpaduan, cukup  dengan mengislamkan manusia   dalam ertikata mendidik mereka sehingga mencapai taqwa,  tanpa mengira  apapun sukunya  sebagaimana dikehendaki Allah.  Bukannya meMelayukan. Ingatlah, Islam itu milik Allah, bukan milik mana-mana suku. Allah jadikannya sesuai untuk semua bangsa dan suku di dunia.

Jika benarlah perkara ini dilaksanakan maka ia tampak menidakkan pengiktirafan Allah bahawa manusia ini  memang dijadikan berbilang suku dan bangsa untuk tujuan saling kenal-mengenali. Saya sendiri menolak untuk diMelayukan hanya kerana saya Islam, bukan kerana saya benci atau tidak suka Melayu tapi  jelas, kerana Allah ciptakan saya dari keturunan Dusun Kimaragang. Siapapun tidak boleh menafikan keturunan ini kerana inilah nasab saya.

Alasan menyatupadukan Islam dengan cara meMelayukan sebagaimana berlaku di Semenanjung; Bugis dan Jawa mengaku Melayu pada saya hanya tanggapan yang tidak berasas. Perkara ini lebih mendatangkan perpecahan berbanding menjelmakan perpaduan. Sementara, peningkatan Islam di Sabah daripada 35% kepada 65% selepas 50 tahun itu benar setelah kerajaan USNO dan BERJAYA mengadakan pengislaman secara besar-besaran.  Pada satu sudut, perkara ini tidak harus dibanggakan, kerana daripada jumlah itu,  ribuan juga yang telah murtad akibat ‘dibiar’ tanpa memberi pendidikan secara besar-besaran pula. Seharusnya,  perkara ini yang perlu dipandang serius, bukannya meMelayukan mereka yang sudah diislamkan.

Kenapa kita tidak mencontohi  Rasul SAW dalam menyatupadukan masyarakat Arab. Bukankah Rasulullah itu contoh terbaik?

 

 

postheadericon Transformasi Umno Kota Marudu

Sebagai pengundi kepada pimpinan UMNO semua peringkat, wajarlah jika para perwakilan tidak membisu ketika hati dan fikiran masing-masing ada seribu satu macam persoalan yang sedang berserabut atau belum terungkai menjurus calon-calun berkaitan. Bagi anda yang sedang bersituasi begini, sedang dalam waktu sama tidak berkemampuan untuk berjumpa, berdepan dan berterus-terang dengan mereka kerana takut, senarai pertanyaan berikut boleh dikemukakan untuk melihat sejauh mana matlamat kerja dan pemikiran mereka:-

1. Sila beri 10 sebab kenapa anda menawarkan diri sebagai barisan pimpinan UMNO Kota Marudu ( misi
dan visi )

2. Sila beri 10 kelebihan anda berbanding calon lain sehingga anda layak diundi berbanding
mereka.

3. Sila beri 10 perkara utama yang akan anda lakukan untuk ahli dan rakyat selepas anda menang.

4. Sila beri 10 perkara yang membuktikan anda memang berkelayakan sebagai pemimpin.

5. Sila beri 10 perkara yang mampu anda lakukan terhadap politik wang yang sedang berleluasa sekarang.

6. Sila beri 10 perkara yang anda perjuangkan habis-habisan untuk melonjakkan daerah Kota Marudu dari sudut ekonomi, pendidikan, dan pembangunan sosial.

Seorang calon wajar berani menjawab semua pertanyaan ini dalam mana-mana perjumpaan dengan perwakilan. Silalah war-warkan jawapan-jawaban anda dengan apa juga cara, hatta menerusi tulisan. Anda gagal menjawab, maka ini waktunya perwakilan menolak calon-calon yang hanya tahu meminta dan merayu undi tapi pemikirannya jumud.

 

 

postheadericon Rumah Transit Mualaf Sabah

 

https://www.facebook.com/pendakwahsabah?fref=ts

Ada beberapa individu bertanya kepada saya, untuk apa Rumah Transit Mualaf Sabah dibangunkan. Saya mengharapkan orang yang bertanya ini ikhlas bertanya, bukannya memerli. Kita semua tahu membangunkan pondok sekalipun bukannya semudah menggosok lampu Aladin, sekelip mata boleh mengadakan sesuatu, inikan pula bangunan batu. Jawapan saya, kita sudah maklum, antara kesulitan yang belum berpenghujung bagi saudara baru adalah pendidikan. Memang benar, telah ada beberapa pusat pendidikan di Sabah untuk Islam tetapi memasukinya tidak mudah justeru sistem pendidikannya telah dinaiktaraf. Akhirnya, golongan - golongan yang tidak ada kelayakan akan tertolak, hampa tidak dapat masuk.

Kita juga harus faham dan sedar, permasalahan para mualaf bukan saja berkisar di lingkungan pendidikan tetapi, wujud juga masalah-masalah sampingan lain seperti dibuang atau diketepikan ahli keluarga disebabkan berbeza agama, diputuskan pemberian wang biaya bagi mereka yang sedang belajar, dipaksa berkahwin dengan yang bukan seagama, dihalang daripada berhubung dengan dunia luar dan sebagainya. Saya sendiri langsung berhadapan dengan mereka yang menghadapi masalah-masalah ini dan terus terang, bukan semua daripada mereka dapat saya bantu atas kekangan kewangan dan kuasa di samping tidak mendapat sokongan spontan daripada masyarakat Islam. Lagi, pihak JHEAINS sendiri seperti yang dikhabarkan oleh pihak pegawai JHEAINS salah sebuah daerah di Sabah, menerima berkeping - keping permohonan murtad. Saya percaya, bukan hanya satu daerah ini yang berhadapan masalah sebegini bahkan kebanyakan daerah seluruh Sabah juga menghadapi masalah yang sama, cuma tidak membukanya kepada umum. Harapan kita agar isu ini dapat dibincang serius sekali gus dicari jalan penyelesaian.

Tegas saya, pembangunan RTMS ini bukanlah untuk bersaing dengan mana-mana pusat kerana jelas kita bukannya pihak yang mampu dalam serba-serbi. Namun, tidak salah dan jelas tidak berdosa jika kita bangunkan ia dengan matlamat yang sama untuk memartabatkan syiar Islam di samping bersama-sama mengambil peranan dalam mempedulikan saudara-saudara muslim khususnya saudara baru. Kerana itu, beberapa orang yang terlibat kini sedang berusaha sedaya mungkin untuk memastikan kewujudan RTMS ini. Kepada sesiapa yang serius mahu mengetahui arah tuju RTMS, bolehlah kita aturkan pertemuan untuk tujuan ini.

Akhir sekali, saudara muslimin dan muslimat yang masih memerlukan pencerahan berkaitan RTMS dan keperluannya dalam masyarakat, bolehlah pm saya di FB Nazri Aldusuni seperti link yang disertakan. In syaa Allah, akan saya sediakan beberapa link untuk anda sebagai bahan bacaan. https://www.facebook.com/nazri.aldusuni