Translate This Page

Siapa Online?
We have 92 guests online
Statistik Pelawat
mod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_counter
mod_vvisit_counterToday207
mod_vvisit_counterAll days882476

We have: 92 guests online
Your IP: 54.224.76.106
 , 
Today: Apr 23, 2017

postheadericon 1 = 10

 

Tidak dinafikan, sejak suara demi suara saudara-saudara baru atau para mualaf kita paparkan menerusi blog Suara Mualaf Sabah dan kini web Suara Mualaf, perubahan telah berlaku. Saudara baru khususnya di pedalaman kini mendapat manfaat hasil informasi pelbagai pihak terhadap mereka. Badan-badan agama bahkan NGO-NGO turut sama mengambil perhstian. Alhamdulillah.

Setelah melalui pelbagai program dan pengalaman, ada beberapa perkara yang perlu diambilkira, diperhalusi dan mungkin dapat dikupas atau dibincangkan di peringkat berkaitan. Pemberian buku-buku asas Fardhu Ain, tafsir-tafsir al -Qur'an, buku-buku panduan solat, telekung, songkok, kain sarung, kain-kain terpakai, sambutan idulfitri dan iduladha, pemberian wang dan sebagainya untuk tempat-tempat yang dikenalpasti telah melalui beberapa program sebelumnya perlu difikirkan semula bahkan jika perlu dihentikan. Meskipun perkara itu baik tetapi, ia tidak membawa manfaat jangka panjang. Pemberian yang sama bahkan berulang hanya akan memancing dan memupuk sikap manja mereka bahkan tidak memangkin perubahan ke arah cintakan ilmu dan mengamalkannya. Kalaupun ada, itu hanya bersifat sementara atau bermusim.

Pengisian selanjutnya bagi tempat-tempat yang dikenalpasti adalah, meletakkan beberapa orang ustaz atau sukarelawan yang sanggup berkampung, berdamping dan menjadi sebahagian daripada saudara-saudara kita sekali gus mendidik mereka beransur-ansur sehingga boleh melakukan perkara-perkara asas Fardhu Ain. Kini, setelah mereka telah membiasa, ilmu perlu kita hidangkan kepada mereka. Justeru, tidak dapat tidak, pusat-pusat pendidikan bertaraf sekolah rendah untuk mereka perlu dibangunkan, 1 pusat pendidikan untuk 10 buah kampung misalan. Hanya dengan pendidikan berterusan saja kita dapat melahirkan ilmuan sekali gus mengubah sikap, pemikiran dan amalan dalam kalangan mereka.

Sungguh, di peringkat awal, memberi itu baik. Namun, tidak begitu praktikal jika aktiviti ini diterjemahkan mereka sebagai ruang kesempatan mempergunakan gelaran saudara baru untuk tujuan meminta-minta.

 

postheadericon Jasimin

https://www.facebook.com/pendakwahsabah

Seseorang yang saya kenali sebagai Jasimin (sengaja tidak ditulis nama penuh) menghubungi saya semalam. Katanya, jika dapat, beliau perlu bantuan segera kerana anaknya sedang sakit dan berada di hospital Ranau. Tambahnya lagi, esok(hari ini) akan dihantar ke Queen Elizabeth Kota Kinabalu. Saya terdiam seketika, melayani luahan yang meniti ke telinga saya. Bukan kerana saya tidak faham situasi mereka tetapi berfikir tentang sumber bantuan. Beberapa hari lalu pun, satu keluarga turut meminta bantuan. Yang itu, isterinya melahirkan anak. Inilah situasi yang saya hadapi saban minggu. Ada-ada saja, bahkan kadangkala saya agak lucu hingga ada yang minta khidmat mencari calon isteri.

Saya kongsikan hal-hal sebegini bukan kerana mahu mempamerkan aib sesiapa tetapi untuk sama-sama kita fikirkan bentuk bantuan segera untuk orang-orang berkesulitan seperti mereka. Selain individu-individu yang punya kelebihan ekonomi, institusi-institusi berkaitan seperti masjid dan baitulmal berperanan penting dalam membantu menyelesaikan situasi seperti ini. Untuk itu, amat perlu difikirkan tentang bagaimana supaya interaksi institusi-institusi berkaitan ini menjadi lebih efektif dan mesra umat agar pihak-pihak yang berhak, mendapat bantuan sewajarnya.

Alhamdulillah, untuk saudara Jasimin, sahabat daripada Grup FB Titian Kasih menyalurkan bantuan segera sejurus khabar sampai kepada mereka. Persoalannya, sampai bila? Inilah antara hal yang sering memintas fikiran saya. Sebagai umat Islam, kita perlu ada alternatif menangani masalah ini. Bukankah setiap masalah yang Allah sediakan itu perlu diurus dan diselesaikan sebaiknya? Di pihak RTMS, selain menggunakan sumbangan masyarakat Islam untuk pembangunan RTMS, kita turut gunakan ia sebagai bantuan segera untuk mereka yang benar-benar memerlukan.

Seketika, saya melihat masjid sebagai tempat paling praktikal yang boleh membantu segera. In syaa Allah, penulisan berkaitannya akan saya sambung.

 

postheadericon RTMS Milik Bersama

 

https://www.facebook.com/pendakwahsabah

Assalamualaikum.

Kepada,

Muslimin dan muslimat

yang dirahmati Allah, di mana juga ketika ini. Didoakan keselamatan dunia dan akhirat untuk tuan-tuan.

Dalam kita menggembelingkan usaha dakwah mengikut posisi masing-masing,  telah menjadi sunnatullah, kita bukan saja menerima lontaran pujian, doa, sokongan dan sebagainya malahan fitnah,  prasangka dan salah tanggapan sesama kita. Tapi, inilah asam garam yang harus kita tempuh sebagai proses kematangan di samping mendapat ganjaran sabar, redha,  tawakkal kepada Allah khususnya ketika kita berada dalam situasi demikian.  Inilah hikmah Allah datangkan ujian.

Sementara di pihak musuh, sudah tentu mereka tidak pernah senang dengan apa yang kita lakukan.  Apapun ujian yang sedang kita depani, jangan sekali-kali kita melepas peluang yang Allah berikan kepada kita untuk berdakwah, justeru tanggungjawab ini terpikul di atas bahu kita sebagai Islam. Mahu atau tidak, tuntutan ini wajib kita laksanakan.

Dalam kesempatan ini,  saya selaku Presiden PPIS ingin mengambil ruang menjelaskan tentang beberapa perkara penting yang sering menjadi pertanyaan dan persoalan beberapa pihak serta melibatkan gerak kerja kecil dakwah yang dilakukan persatuan selama ini. Antaranya,  tentang dana pembangunan RTMS, sumbangan buku-buku, sejadah,  telekung, bantuan makanan kering,  kain-kain terpakai dan seumpamanya.  Kesemua ini datangnya daripada sumbangan individu,  AJK Masjid, badan NGO dan orang perseorangan.  Sebahagian mereka datang langsung ke RTMS manakala sebahagiannya menyalurkan sumbangan menerusi akaun PPIS yang kami kongsikan di setiap info menerusi laman PPIS.

Buat masa ini, kita belum menerima sebarang dana dari pihak kerajaan, pusat zakat atau seumpamanya. Saya mengharapkan agar penjelasan ini menjawab persoalan dan pertanyaan pihak-pihak yang bertanya dan ragu tentang sumber kewangan PPIS. Maka itu, apabila saya ditanya tentang sumber kewangan, seringkali saya menjawab bahawa bank PPIS adalah masyarakat Islam. In syaa Allah, datanglah ke RTMS yang sedang kita bangunkan ketika ini kerana, RTMS adalah milik kita bersama.

 

postheadericon Penjualan Ayat Al-Quran

http://dengaralquran.com/

http://www.cahayafm.net/

https://www.facebook.com/pendakwahsabah

Jika restoran, kandang penyembelihan, hotel dan sebagainya dipantau penguatkuasa berwajib kerana memastikan pengurusannya mengikut syariat, semestinya kita tidak persalahkan pihak mereka kerana fokus mereka adalah dalam kalangan penganut-penganut beragama Islam yang menjatuhkan maruah Islam. Di pihak bukan Islam, tidak usah takut kerana anda bukan buruan penguatkuasa ini dalam hal tersebut.

Selain tempat-tempat biasa, ada beberapa premis lagi yang patut dipantau oleh penguatkuasa. Barangkali perkara ini terlepas pandang ataupun belum sempat diambil tindakan pihak berwajib. Pun, ia sangat merunsingkan, lebih-lebih tempat yang dimaksudkan ini adalah premis awam. Terdapat premis yang menjual bingkai bertulis ayat-ayat Qur’an serta kalimah Allah dan Muhammad dipamer dengan pelbagai bentuk. Selain dalam bingkai kayu dan plastik, ia turut direka dengan bentuk lain seperti jam, kertas hiasan dan seumpamanya. Kita dapat melihatnya di premis milik Islam dan bukan Islam. Apa yang kurang menyenangkan, kadangkala ayat-ayat Qur’an diletakkan semborono, bercampur baur dengan barang-barang lain seperti patung-patung kecil dan sebagainya. Sebahagiannya dilambakkan tidak tersusun bahkan diampai dan diletakkan di tempat paling bawah.

 

Suasana ini bukan saja mengaibkan, bahkan sangat tidak beradab terhadap ayat-ayat Qur’an kalam Allah. Oleh itu, kita mohon agar pihak berwajib mengambil perhatian terhadap perkara seperti ini sekali gus memberi garis panduan kepada pihak-pihak peniaga. Perkara ini telah sekian lama berlaku dalam Malaysia. Jika terus dibiarkan tanpa pemantauan, mereka mungkin tidak akan pernah menghiraukan tempat dan cara perletakan ayat-ayat suci al-Qur’an yang kebanyakannya direka sebagai hiasan dinding.

 

 

 

postheadericon DAKWAH MAYA

http://dengaralquran.com/

https://www.facebook.com/pendakwahsabah

 

Seringkali saya katakan dalam mana-mana kesempatan, khusus kepada pakar-pakar IT dalam kalangan orang Islam supaya mempergunakan kepakaran mereka untuk Islam, bukan sewenang-wenang menggunakannya untuk kepuasan diri atau sebaliknya. Sementara tokoh-tokoh agama dan para pemikir harus mengambil orang-orang seperti ini sebagai regu mereka dalam penyebaran maklumat Islam. Pengalaman saya, apabila kita membuat carian atas talian berhubung dakwah maya, kita hanya akan berjumpa beberapa laman web, blog, FB dan seumpamanya yang dikendalikan secara individu sementara pihak jabatan agama serta badan NGO Islam pula, web mereka hanya dikunjungi sejumlah pengunjung, masih jauh ketinggalan berbanding web, blog dan FB bersifat isu semasa yang tidak mencerminkan tarbiah; dikunjung ribuan malahan puluhan ribu dalam satu waktu. Kerana realiti inilah, kita patut memikirkan perkara ini agar era keterbukaan yang ada, dapat kita manfaatkan seluas-luasnya untuk penyebaran dakwah yang boleh saja kita namainya dengan DAKWAH MAYA.

 

Sementara itu, penyertaan dalam Konvensyen Dakwah Kebangsaan yang dibuat hampir setiap tahun masih perlu diperhalusi agar penyertaan dalam konvensyen ini mengambilkira penyertaan segenap lapisan manusia yang terlibat dalam dakwah tanpa mengira mereka itu berjabatan, berpersatuan atau secara individu. Justeru, bukan setakat orang yang sama saja terlibat setiap tahun tetapi juga mereka yang belum pernah terlibat. Pentingnya proses seperti ini supaya, perkongsian pengalaman sesama pendakwah dapat dikongsi dalam konvensyen ini, sekali gus dibawa pulang ke tempat masing-masing untuk dilaksanakan jika sesuai dan diubahsuai pula jika kurang sesuai.

 

Begitu, DAKWAH MAYA. Mengapa tidak dianjurkan suatu program yang melibatkan personalia atau grup pelbagai latar belakang serta kepakaran? Kalau hanya mengharapkan tokoh-tokoh agama dalam penyebaran dakwah, bukan semua lapisan masyarakat boleh sampai ke program kuliah para tokoh ini. Ringkasnya, lebih banyak medium yang kita gunakan untuk dakwah, maka lebih banyak sasaran dakwah yang dapat ditembus, in syaa Allah. DAKWAH MAYA di atas talian terbuka; Siapa saja yang boleh membaca dan masuk ke mana-mana ruang, itulah sasarannya.

 

Kepada badan-badan agama, mohon difikirkan perkara ini. Tidak salah jika dana diberikan kepada mana-mana kelompok atau individu yang berkemampuan mengadakan sistem DAKWAH MAYA untuk manfaat umum. Sikap menangguh dengan jawaban skema “perkara ini sedang dipertimbangkan”, sudah agak lama. Maka, sudah-sudahlah. Sebagai penggiat DAKWAH MAYA, saya selalu bersedia berkongsi sedikit pemikiran dan pengalaman yang ada, in syaa Allah.

 

Maybank Persatuan Pendakwah Islam Sabah > 560269002818

Bank Islam Persatuan Pendakwah Islam Sabah > 1001602096785-6