Translate This Page

Siapa Online?
We have 90 guests online
Statistik Pelawat
mod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_counter
mod_vvisit_counterToday204
mod_vvisit_counterAll days882473

We have: 90 guests online
Your IP: 54.224.76.106
 , 
Today: Apr 23, 2017

postheadericon Farid Ravi

 

Agak lama saya tidak mengemaskini Suara Mualaf, disebabkan tumpuan saya kepada kerja-kerja kecil  PPIS.

Alhamdulillah,  baru-baru ini, saya sempat berbincang,  bertanya dan bertukar fikiran dengan ustaz Farid Ravi Abdullah ketika beliau ke Sabah dalam program Karnival Dakwah Negara berpusat di Sabah yang turut disiarlangsung oleh TV alHijrah. Tahniah kepada TV alHijrah juga pihak-pihak terlibat yang memangkin kehadiran media ini ke sini. Dulu, saya pernah mengutarakan langsung akan keperluan media khususnya media elektronik; TV dan radio bertapak di Sabah justeru banyaknya berita yang boleh dikongsi di sini. Begitu, keadaan ini tidak akan merugikan pihak terlibat. Bahkan, jika dihitungrugi di sudut perniagaan, mereka tetap untung.

Peluang bersama ustaz Ravi saya pergunakan untuk melontarkan beberapa perkara berkaitan dakwah khususnya dakwah di pedalaman Sabah. Saya sangat berharap agat beliau memahami situasi yang saya maksudkan dan dapat disegerakan tindakan, sesuai dengan kedudukan beliau yang sentiasa dapat bersama dengan masyarakat pelbagai lapisan; penjawat awam, ahli politik, ahli -ahli  agama dan sebagainya. Mudah-mudahan, beliau beroleh ruang dan waktu sesuai untuk beliau kongsikan perkongsian  sepanjang  kami bersama dalam perjalanan.

Antara intipati perkongsian fikiran; mencari dan mengambil remaja dalam kalangan saudara baru seramai 20 orang, daripada pelbagai latar untuk diberi latihan. Nanti,  kita akan tempatkan mereka di kawasan-kawasan pedalaman Sabah.

 

Saya sangat berharap agar ustaz Ravi dapat merealisasikan perkara ini. Saya sudah tidak sabar melihat 20 orang ini bertebaran di puncak-puncak, bukit-bukau juga di lembah dan lurah  pedalaman Sabah.

 

postheadericon Makan Malam ?

https://www.facebook.com/pendakwahsabah

Kisah kedua berlaku dalam perjalanan kembali ke Kg. Tanid dari Kg. Linampasan. Kami sempatkan diri menziarahi 2 buah rumah usang. Salah satu darinya dinding sudah berlubang, ruang rumah tanpa bilik, bahkan struktur dirian rumahnya juga agak condong, hampir menyembah bumi. Luluh hati melihat suasana itu. Terdetik di hati, sampai bila mereka disisih dari pembelaan pihak berkaitan. Persoalan bercabang mula bermain di fikiran. Hanya menunggu saat dan waktu dipertemukan dengan pihak berwajib. In syaa Allah, akan saya utarakan persoalan-persoalan tanpa jawapan ini.

Di rumah yang saya maksudkan. Saya bersama seorang wakil BAKIP naik melihat sendiri keadaan rumah dhaif itu. Kemudian, kami serahkan bungkusan beras dan makanan kering selesai bertanya khabar dan memberi sedikit makluman tentang sumbangan yang kami bawa. Selepas bungkusan berpindah tangan, kami mohon balik. Saya dan saudara Albaston bergegas kembali ke kereta. Orang rumah yang turut datang mengambil gambar pula agak terkebelakang. Sampainya di kereta membawa genangan air mata dan cerita.

Mendengar kisah ringkas, saya turut sebak. Izlynn yang duduk di belakang juga rasanya turut sebak. Apa tidaknya, ketika orang rumah mahu meninggalkan rumah usang itu, dia terdengar suara Si Anak " mak, ada sudah baras kita mo makan ni malam kan?". Kata-kata Si Kecil menyentak kalbu. Entah berapa lama perut mereka tidak disinggahi nasi.

https://www.facebook.com/pendakwahsabah


 

postheadericon Bantuan Kemanusian

 

 

Sepanjang misi menghantar bantuan kepada mualaf, fakir miskin dan OKU; berpusat dan rumah ke rumah, 2 peristiwa berlaku sekali gus menambah kantung pengalaman. Kejadian yang memukul pintu sanubari kemanusiaan, membuatkan saya sebagai jurupandu, hilang bahasa menyatakan tujuan ketika berdepan dengan tuan rumah. Kedatangan kami ke beberapa buah rumah tidak dimaklumkan kepada tuan rumah agar rombongan yang datang dapat melihat, mendengar dan menilai keadaan mereka untuk tindakan di peringkat diri masing-masing.

Mulanya, fokus kami ialah orang-orang Islam, sebagaimana diamanahkan para penyumbang. Tiba di lokasi, hati berubah atas nilai kemanusiaan. Begitu, fokus juga diubah. 

Hari itu, puan Rosnah yang kami cari antara penerima sumbangan sekampit beras beserta makanan kering. Tiba di rumahnya, kami dikhabarkan yang dia sudah berpindah ke seberang sungai berhampiran tapak tanamannya. Sementara, rumah asalnya telah didiami kakaknya, seorang Kristian.

Sementara menanti puan Rosnah, saya didatangi seorang nenek dengan raut wajah duka. Beliau meminta dengan suara berbisik "boleh kamu lawat cucu saya? Dia meninggal semalam". Saya tersentak Rupanya, beberapa orang yang ada di kaki lima rumah sebelah sedang bersedih. Kami langsung tidaķ menyangka kerana tiada kelihatan orang ramai berziarah.

Selesai saja nenek berkata, saya mohon keizinannya untuk naik ke rumah yang ditunjuk. Saya naik, masuk ke pintu dan melihat sesusuk tubuh kecil ditutupi kain. Saya bergegas turun semula berbincang dengan rombongan. Seketika, saya naik menyerahkan kutipan kilat beserta 2 kampit beras untuk keluarga yang sedang berduka.

Walaupun mereka penganut Kristian, tidak termasuk dalam asnaf yang layak menerima sumbangan berdasarkan syarak namun, atas dasar kemanusiaan, beberapa kampit beras diubahsuai dan diserah kepada mereka. Pada saya, ini bukanlah satu kesalahan, justeru suruhan Islam yang menyeru umat bertolong bantu ke arah kebaikan. Terima kasih kepada sahabat-sahabat BAKIP yang memahami situasi dan keperluan ini.

Kami tertarbiah langsung dengan keadaan ini. Syukur kepada Allah, memilih kami berada dalam situasi ini. Betapa di sekeliling kita sentiasa ada insan lain yang sangat memerlukan bantuan kita.Bantulah mereka semampu kita.




 

postheadericon Surau Kg Langkabong, Tongod

 

 

Surau Kg Langkabong, Tongod. Seperti hebahan yang sedang heboh, 18 tahun surau ini ditinggalkan, sementara penduduk sekitarnya telah murtad. Isu  ini bukan isu baru di Sabah. Yang baru, khalayak kini sudah ada media hebahan pantas lagi tidak bersempadan bernama FB, twitter, whatsapp dan lain-lain. Sebab itu perkara ini mendapat perhatian, kongsian dan pelbagai ulasan yang dapat dibaca umum. Barangkali ada yang berkongsi semata-mata mendapat ‘like’ atau memancing ramai pembaca. Maksudnya, perlu klik ‘like’, barulah berita dipapar. Tidak ‘like’, tiada bacaan. Apapun cara, perkongsian yang dibuat itu mengikut niat masing-masing.

Saya mengikuti berita ini, satu, satu. Sedikit pembaca yang benar-benar mengulas kemudian memberi jalan penyelesaiannya. Lebih ramai yang menuding jari ke pihak-pihak berkaitan seolah-olah penanggunjawab isu hanya mereka yang diberi kuasa dalam bidang berkaitan. Benar, di satu sudut,  pihak merekalah yang  lebih memikul tanggungjawab. Namun, kita jangan leka dan asyik pandang tajam ke mereka saja kerana, sebagai muslim kita juga wajib sama-sama memikul beban ini.

Isu-isu; pemurtadan, surau-surau terbengkalai, papan surau reput dimakan anai-anai, sebahagian papan lantai dan dinding dikopek orang juga berlaku. Senario di Sabah, sekitar tahun 80-an; pembinaan surau-surau kecil sangat aktif. Boleh dikatakan, satu kampung satu surau. Ini pernah berlaku dan dilaksanakan semasa kerajaan BERJAYA memerintah berikutan pengislaman beramai-ramai. Ketika itu, tumpuan pengislaman ialah kepada masyarakat Kadazan, Dusun dan Murut. Sebilangan masyarakat ini mengucap Syahadah sehingga 2 atau 3 kali di padang berlainan. Ketika itu, padang-padang lapang dijadikan tempat berkumpul untuk pengislaman. Sebab itu di Sabah, kita jangan hairan kalau berjumpa dengan rakan-rakan yang namanya mirip nama orang Islam tetapi sebaliknya, mereka bukan Islam.

Kembali kepada isu pemurtadan dan surau terbiar belasan tahun. Kita perlu adil melihat dan membahagi kesilapan dalam isu ini. Kemudian,  di pihak siapapun yang berbuat silap, kita semua perlu menjadikannya iktibar agar selepas ini tiada lagi isu sama berlaku.  Selepas itu, kita carilah penyelesaian. Pada saya, pihak penganjur pengislaman dan kerajaan waktu itu tidak memikirkan pengisian jangka panjang untuk program yang mereka lakukan. Pengislaman disertai dirian surau di kampung-kampung berkaitan itu baik tapi kurang cantik kerana tiada susulan tindakan mengisi pengislaman masyarakat atau memberi pendidikan kepada mereka yang telah diislamkan. Kedua, semua orang Islam yang tinggal semukim perkampungan ini juga  seharusnya prihatin dan membantu dalam mendidik mereka yang telah diislamkan.

Inilah antara penyebab berlakunya pemurtadan dan pengabaian surau-surau terbabit. Akhirnya, kejadian ini  menampar umat Islam hinggakan bagaimana sekalipun kita tangkis  ia tetap memukul kepala kita sendiri, sampai bila-bila kerana peristiwa ini sudahpun tertulis di hati setiap yang terlibat.  Mahu atau tidak, kita perlu akui kesilapan ini. Kita jawablah di hadapan Allah di padang Mahsyar nanti kerana di dunia ini kita boleh saja beralasan itu dan ini.

Untuk menebus kesalahan,  kita mesti kembali kepada suruhan Allah dan memikulnya menerusi jalan dakwah, tanpa  mengira kelompok; kerajaan, jabatan agama, badan NGO  serta setiap individu Islam. Semua kelompok mesti turun padang tanpa berkira waktu melalui sistem pendidikan bersepadu dan berterusan. Barulah kita yakin isu pemurtadan dan surau mereput tidak akan berulang . Jika berlaku sekalipun kita bukan gagal lagi kerana kita sudah berbuat sehabis mungkin. Sementelahan, isu murtad ini sudah sekian lama berlaku dengan pelbagai peristiwa.

 

 


 

 

 

postheadericon Sudut Pandang Dakwah

 

Saya bukan tidak marah dengan sikap penghina Islam, Nabi serta ajaran baginda Rasulullah.  Bahkan,  darah saya cepat mendidih memikirkan sikap penghina ini. Jika ikutkan nafsu, mahu saja saya bertindak keras semampu  saya. Tapi, bila memikirkan saya juga pernah menjadi penolak Islam suatu ketika dulu, saya pujuk hati dan ajak akal saya melihat beberapa sudut pandang,  semata-mata untuk dakwah kerana Allah. Antara sebab saya menolak Islam dan membenci penganutnya suatu ketika dulu ialah :-

1. Saya melihat orang-orang Islam sekeliling saya begitu mementingkan diri mereka masing-masing. Tiada usaha menerangkan apa itu Islam, kebaikan yang kita dapat dalam Islam dan seumpamanya. Satu perkataan yang selalu meniti di mulut orang-orang Islam waktu itu ialah kata HARAM. Saya, disentak setiap kali mendengar perkataan ini. Sedihnya, saya tidak dapat menyerap sedikit pun kebaikan daripada penggunaan kata HARAM ini melainkan merasa Islam itu sangat berat.

2. Cara hidup orang-orang Islam di lingkungan saya ketika itu sama saja dengan cara hidup saya; minum tapai dan main judi. Bahkan,  merekalah yang menjadi ketua, membuka tikar 'katam-katam'.

3. Orang Islam di sekitar saya memandang rendah dan kotor kepada kami sehingga kalau kami naik ke rumah mereka, bekas dudukan kami akan disiram sekembali kami daripada bertandang.

4. Orang-orang yang dipertanggungjawabkan menjaga agama Islam seperti imam dan bilal tidak pernah sekalipun naik ke rumah kami,  memberi kefahaman tentang Islam atau sekurang-kurangnya berdakwah bil haal. Sangat beza dengan mubaligh Kristian waktu itu yang naik berkunjung rumah ke rumah.

5. Orang Islam di sekitar saya ketika itu selalu menyindir perihal makan minum dan kehidupan kami; kami disifatkan pengotor.

Inilah antara pengalaman saya di zaman jahil. Saya depani sendiri dengan hati saya disarangi dendam bukan saja terhadap orang-orang Islam, bahkan terhadap agama Islam itu sendiri. Pengalaman ini membuat saya melihat David Orok  sebagai manusia yang tidak tahu dan faham apa itu Islam. Sekalipun beliau mengaku tahu, tetapi pengetahuan itu sekadar memahami bacaan dan huraian dengan fahaman sendiri. Walhal, maksud ayat quran dan hadis yang dibaca, bukanlah seperti yang disangkanya sendiri kerana penafsiran Qur'an dan hadis itu memerlukan pelbagai alat atau ilmu-ilmu cabang seperti ilmu tafsir, nahu, soraf dan seumpamanya,  yang beliau langsung tidak pernah mempelajarinya. Pun, inilah peluang bagi ilmuan Islam menerangkan kepada beliau tentang Islam bertunjangkan ilmu di hadapan beliau. Jika telah dibuat dan beliau masih tetap dengan kefahamannya, ketika itu, beliau perlu bersedia menerima hukuman. Jika sekarang kita menghukum beliau dengan pelbagai cara, sudah tentu beliau bukan saja menolak, bahkan terus-menerus menyatakan kesonsangan. Akhirnya hanya akan menimbulkan ketegangan dalam masyarakat Islam dan bukan Islam.

Sekarang, di pihak kita wajar jika kita bertanya kembali pada diri masing-masing; apakah perkara berkaitan Islam yang telah kita usahakan sungguh-sungguh terhadap  diri kita dan terhadap mereka yang bukan Islam? Misalnya, sudahkah kita naiki rumah-rumah orang yang bukan Islam untuk kita terangkan kepada mereka apa itu Islam? Sebanyak mana risalah islamik yang dicetak setiap tahun, telah kita edar tangan ke tangan untuk seluruh umat bukan Islam? Masih banyak sebenarnya yang belum kita lakukan.  Jangankan untuk mereka,  untuk sesama kita yang seakidah pun belum memadai apa yang kita lakukan.

Di zaman Rasulullah SAW, ramai orang bukan Islam menjadi pembela, pelindung dan pembantu kepada penyebaran Islam sehingga nama-nama mereka terpahat dalam sejarah Islam.  Kenapa begitu? Kerana mereka kenal siapa Nabi Muhammad SAW yang membawa Islam.  Hanya saja mereka tidak bersyahadah kerana Allah belum campakkan hidayah ke hati-hati mereka. Kepada mereka ini,  tempat dan perlindungan diberi oleh penguasa Islam sebagaimana orang Islam yang dilindungi.

Ringkasnya, kita belum meratakan dakwah ke seluruh negeri Sabah sedang kemampuan dan kuasa untuk berbuat ada pada kita. Justeru,  mari sama-sama kita mengambil iktibar daripada peristiwa dan lemparan David Orok ini untuk lebih bekerja sehabis ilmu , fikiran, tenaga hatta kewangan dan sebagainya yang ada pada kita untuk memberi kefahaman  kepada masyarakat bukan Islam tentang ajaran Islam ini.

Setelah berpuas hati apa yang telah kita buat, jika mereka masih menolak, itu bukan lagi urusan kita tetapi urusan Allah. Dia yang memiliki hidayah. Dia berhak memberinya kepada sesiapa yang dikehendakinya. Waktu itu, jika mereka masih  tetap menghina nabi dan memperlekehkan Islam, bersiaplah menghadapi hukuman yang diperintahkan Allah ke atas golongan seperti ini.

Secara peribadi,  adalah lebih baik jika semus pihak khususnya pihak berwajib agama;JHEAINS, JHEAINS, YADIM, badan-badan NGO serta para ilmuan Islam memandang isu ini sebagai satu cabaran untuk melipatgandakan kerja dakwah. Bukankah Nabi SAW sendiri pernah dihina, digelar ahli sihir bahkan beberapa kali cuba dibunuh oleh para kafir laknatullah? Bagaimana sikap baginda? Tidak membalas. Tidak memancung. Tidak juga menadah tangan memohon Allah menyegerakan azab kepada Si Pelaku. Malahan,  Rasulullah berbuat baik,  cuba berdamping dengan mereka dengan pelbagai pendekatan semata-mata mahu memberi kefahaman kepada mereka tentang agama Islam yang diamanahkan Allah kepada baginda. Hasilnya, mereka yang memusuhi Islam, menjadi pembela Islam selepas itu.

Saudara David Orok yang dihormati. Sebagai orang yang sebangsa dengan kamu, saya percaya jika kamu benar-benar mendalami Islam, pasti kamu akan menyesali ketidakadilan kamu dalam memahami Qur'an selama ini. Sungguh, Qur'an itu kata-kata Allah, tiada keraguan padanya. Saya percaya kamu punya keluarga Islam. Tentu mereka turut terluka dengan kenyataan kamu. Mudah-mudahan Allah berikan hidayah ke atas kamu sekeluarga.